语言: EN | 中文 | BM |

Racun Anai-Anai Terbaik Untuk Menghapuskan Anai-Anai

Serangan anai-anai tidak boleh dijangka. Lebih lebih lagi jika rumah anda jenis teres dan di atas tanah. Selagi tidak dihapuskan sepenuhnya, risiko diserang tetap anda.

Anai-anai, tidak seperti semut dirumah. Mereka lebih ‘pemalu’ untuk menonjolkan diri atau bersua muka dengan tuan rumah. Anai-anai laksana perisik. Mereka makan kayu dari dalam. Dalam diam mereka bekerja, tahu-tahu sahaja perabot rumah, pintu kayu atau lantai parquet telah dilahap oleh serangga kecil ini.

Anai-anai boleh dihapuskan secara berkumpulan atau keseluruhan koloni. Anda hanya perlu memilih racun anai-anai terbaik mengikut kesesuaian.

 

Tanda-Tanda Rumah Anda Diserang Anai-Anai

1. Terdapat Laluan Anai-Anai

Laluan anai-anai biasa seperti urat menjalar di dinding atau lantai. Laluan ini dibina dengan lumpur. Laluan ini biasanya akan ke arah pintu kayu atau perabot kayu.

2. Kelkatu

Kelkatu adalah anai-anai. Noktah. Anai-anai dewasa dan bersayap dikenali sebagai kelkatu. Serangga ini biasanya mengerumuni lampu atau sumber cahaya selepas hujan. Keesokkan harinya, anda akan lihat banyak kelkatu yang mati dan sayap patah bertebaran. Ini adalah tanda-tanda anai-anai akan membuat sarang di rumah anda. Kelkaltu mencari tempat tinggal baru yang sesuai dibuat sarang.

3. Kayu Menjadi Kosong Apabila Diketuk

Anai-anai memakan kayu dari dalam. Bahagian kayu yang diserang akan berbunyi seperti kosong jika diketuk. Lama kelamaan hanya tinggal lapisan luaran sahaja. Selain itu, kehadiran anai-anai juga boleh dikesan apabila bahagian dinding berkayu mengalami kesan retakan. Jika kediaman anda mengalami tanda-tanda disebutkan, bersiap sedia untuk mendapatkan racun anai-anai terbaik sebelum semuanya terlambat.

Racun Anai-Anai Terbaik

1. Fliponil

Antara racun terbaik untuk menghapuskan anai-anai adalah menggunakan larutan kawalan anai-anai. Bahan aktif di dalam larutan ini adalah Fliponil. Bahan kimia ini mempunya kesan yang boleh berpindah. Maksudnya, jika disembur pada seekor anai-anai, bahan kimia ini akan “berjangkit” dengan anai-anai lain apabila pulang ke koloni. Lama kelamaan keseluruhan koloni akan musnah.

Satu larutan yang pekat (biasanya digunakan oleh syarikat pengawalan serangga perosak) boleh membunuh anai-anai serta merta apabila disembur. Cecair ini digunakan secara semburan atau dimasukkan ke dalam perimeter kawasan yang telah digerudi.

 

2. Bifenthrin

Larutan Bifentin sesuai digunakan untuk semua jenis anai-anai di Malaysia. Bahan kimia ini selamat untuk kanak-kanak dan juga haiwan peliharaan.

Bahan ini perlu dilarutkan dengan air sahaja. Semburan larutan Bifenthrin mampu membunuh anai-anai serta merta atau menjangkiti kumpulan anai-anai yang besar di koloni. Bifentin mempunyai sifat tidak berbau dan tidak berminyak. Racun jenis ini sangat sesuai sekali digunakan untuk kediaman anda.

 

3. Imidacloprid

Bahan kimia aktif Imidacloprid digunakan sebagai racun serangga secara meluas di Malaysia. Malah racun serangga ini juga digunakan untuk menghapuskan anai-anai, kutu, lipas dan juga kumbang.

Imidacloprid dikategorikan sebagai racun sederhana. Ia mungkin memberi kesan kepada kulit jika digunakan secara berlebihan. Langkah keselamatan yang perlu diambil adalah seperti memakai sarung tangan. Bahan ini perlu dielakkan terdedah kepada kanak-kanak dan juga haiwan peliharaan.

 

4. Hexaflumoron

Bahan kimia ini digunakan untuk mengumpan anai-anai dan menyebarkan racun sekembalinya mereka ke sarang. Ia mengambil masa yang sedikit untuk bertindak tetapi sangat berkesan.

Bagaiman Hexaflumoron meangumpan anai-anai? Apabila kumpulan anai-anai bergerak ke kayu untuk makan, mereka akan meninggalkan bahan kimia yang dirembes dari badan. Bahan kimia ini akan memberitahu anai-anai lain—kebanyakkan anai-anai buta—di mana sumber makanan (kayu) tersebut. Oleh kerana kayu yang diserang sudah disembur Hexaflumoron, bahan ini akan dihadam oleh anai-anai.

Akhirnya, jumlah Hexaflumoron menjadi tepu di dalam koloni termasuklah ratu anai-anai sekali. Keseluruhan koloni akan mati. Racun ini bersifat pasif dan berkategori risiko rendah dan kurang pencemaran kepada alam sekitar.

Terdapat banyak jenama daripada pengeluar racun anai-anai dipasaran. Racun anai-anai ini mengandungi bahan aktif yang telah disenaraikan. Jika anda ingin merawat sendiri serangan anai-anai, pilihlah racun yang mempunyai bahan kimia tersebut. Jika serangan anai-anai sudah terlalu teruk atau anda tidak pasti, serahlah kepada yang pakar. Hubungilah syarikat kawalan serangga perosak untuk menyelesaikan masalah ini. Apa yang pasti, anai-anai perlu dihapuskan!

31 Jul 2024